Pages

Untukmu Cinta (Bab 1)

Nur Hasya berdiri kaku di sisi pintu kamarnya yang terbuka luas.  Dia mengetap bibir sambil menahan sebak di relung hati. Pandangannya kelam hitam di mana-mana. Dia tidak berasa sedikitpun penglihatannya berkaca-kaca meskipun tubir sepasang organ deria lihatnya itu digenangi dek airmata. Namun apa yang pasti, deria rasanya masih kekal berfungsi saat dia mendapati sebahagian kanan dan kiri pipi gebunya terasa sedikit menghangat. Ada rintik-rintik mutiara jernih mengalir turun perlahan di situ tatkala dikerdipkan kedua-dua belah kelopak matanya. Pantas saja dia menyeka dengan hujung jari jemarinya yang runcing.

"Aku harus kuat," bisiknya perlahan.

“Tapi datin, sekurang-kurangnya kita tunggulah Irfan balik dulu. Saya fikir, biar anak-anak kita yang buat keputusan. Lagipun yang mahu melayari alam rumahtangga tu mereka. Tugas kita hanya tinggal merestui saja”, luah Puan Hajar dalam nada separuh merayu. Ekor matanya tidak lepas dari memandang ke wajah mencuka Datin Maria. Tahulah dia maksud dan tujuan sebenar kunjungan tetamu yang senantiasa dia nantikan itu saat Datin Maria mengunjurkan kotak kecil warna merah hati yang terletak kemas sebentuk cincin suasa bertatahkan permata zamrud di dalamnya. Sekejapan, mindanya lantas mencerna saat dia menyarungkan cincin itu ke jari manis Irfan bagi pihak sebelah perempuan sewaktu berlangsungnya majlis pertunangan Nur Hasya dan lelaki tersebut.

Datuk Farid yang sedari tadi hanya berwatak sebagai pemerhati dan pendengar mula memainkan peranan. Ada tanda-tanda ingin mencelah dari gerak bibirnya yang sedikit terbuka. Dia berdehem beberapa kali sebelum mula berbicara.

“Abang rasa ada benarnya juga cadangan Puan Hajar itu, Mar...” Belum sempat Datuk Farid meneruskan kata-kata, pantas sahaja dicantas oleh Datin Maria. Butir bicaranya terjeda. Dia terkesan akan jegilan mata isterinya sebagai satu hadiah berupa amaran.

"Kami ni ramai kenalan terhormat. Saya tidak mahu keluarga kami menjadi buah mulut orang. Irfan satu-satunya anak lelaki tunggal kami. Saya tidak rela punya cucu yang cacat kelak!” sanggah Datin Maria melengking. Ombak dadanya jelas kelihatan deras menurun dan menaik mengawal amarah. Sinar matanya tidak ubah lagak seekor singa yang menyinga mahu menerkam mangsa.

Puan Hajar terkesima dengan omongan telus Datin Maria. Begitu juga Datuk Farid yang turut melopong. Kegilaan apa yang telah merasuk diri isterinya. Berharap agar isterinya itu menarik balik ungkapan pedih yang menyenakkan telinga ibarat mencurah air ke daun keladi. Dia sudah terlalu betah dengan kedegilan Maria. Makin tua, makin menjadi-jadi. Selama ini, dia lebih gemar melalui proses membisukan diri dan memekakkan telinga sahaja jika ada isu yang tercetus. Bersikap tidak mahu mengambil pusing kerana enggan membazirkan air liur untuk bertegang urat dengan wanita itu. Tidak minat untuk berbasa-basi.

“Astaghfirullahalazim...Bawak mengucap datin. Apa yang terjadi, bukan kehendak kita. Siapa kita untuk mempersoalkan urusan Allah? Memang benar, Hasya sekarang sedang melalui ujian yang amat berat. Tapi Hasya hilang upaya melihat kerana kemalangan itu, datin. Bukan disebabkan kecacatan azali,” jelas Puan Hajar separuh kesal. Sungguh dia tidak menyangka sejauh itu akal kewarasan Datin Maria membuat telahan dan penilaian. Naluri keibuannya tidak semena-mena diterpa perasaan sayu. Hatinya berlagu walang. Walang mengenangkan untung nasib Nur Hasya dalam menempuh hari-hari yang mendatang. Kasihannya kepada Irfan, bakal menantunya juga. Tegarkah anak muda itu nanti untuk menuruti kehendak ibunya? Pantaskah andai Irfan berkeras dengan meneruskan hasrat untuk tetap memperisterikan Nur Hasya sebagai suri hidupnya dunia akhirat? Bahagiakah hidup mereka berdua jika kekurangan restu salah seorang daripada ibu bapanya? Minda Puan Hajar terus diasak dengan persoalan-persoalan yang hadir bertalu-talu.

“Ibu...” sapaan satu suara seseorang dari arah belakang memecahkan suasana yang menjadi hening buat seketika. Puan Hajar amat kenal akan suara itu. Dia yang sedari tadi tunduk meratah permukaan lantai spontan mendongak. Pantas kepala dan badannya ikut sama bergerak. Perbuatan yang sama turut dilakukan oleh Datuk Farid dan Datin Maria. Puan Hajar kaget membulatkan mata. Susuk tubuh empunya suara tersebut dilihatnya sedang menapak perlahan menuju ke arah ruang tamu. Mata bundar gadis itu terkebil-kebil sementara kedua-dua tangannya tergapai-gapai di awangan. Seolah-olah ingin mencari sesuatu objek yang boleh dicapai atau dipautnya untuk dijadikan sandaran.

“Ya Allah Hasya!” terpacul kalimah itu meniti di bibir Puan Hajar. Lekas dia bingkas mengatur langkah untuk mendapatkan anak perempuannya yang semakin menghampiri buju meja makan. Datuk Farid turut bingkas berdiri kekal di hadapan sofa yang setia ditaklukinya sejak tadi. Dia berasa sedikit lega kerana dapat merebut peluang untuk meregangkan urat-urat peha dan kaki yang terasa longgar. Tingkahnya itu menarik perhatian Datin Maria yang sedang menjeling sinis ke arahnya.

'Dasar manusia tak berhati perut’ gumam Datuk Farid di dasar hati. Matanya ikut saling berlawan sama menikam tajam ke dalam mata Datin Maria. Kelihatan urat-urat kecil menjelma pada rahang pipi Datuk Farid.

Puan Hajar segera meraih pergelangan tangan Nur Hasya supaya hampir dengan badannya. Telapak tangannya dilekap ke belakang badan Nur Hasya dan cuba membantu mengawal pergerakan puteri kesayangannya itu. Untung saja tindakannya tangkas. Seandainya terlambat, sudah tentu pinggul Nur Hasya akan tergadah mengenai permukaan hujung bucu meja makan berkerusi enam itu.

“Kenapa tak bunyikan loceng je? Ibu boleh bawa Hasya keluar dari bilik” omel Puan Hajar tetapi masih dalam intonasi yang lembut. Sejak dari hari pertama Nur Hasya ditimpa tragedi kemalangan yang telah meragut keupayaan untuk meneroka seluruh keindahan alam anugerah ciptaan Allah SWT, dialah yang menjadi tulang belakang kepada anaknya. Menjadi kewajipannya untuk menguruskan segala keperluan Nur Hasya. Nur Hasya sudah tidak sesempurna dulu. Itulah hakikat dan realiti yang harus diterima dengan redha. Tiada lagi pengalang ganti selain dirinya yang boleh Nur Hasya harapkan sekarang. Sementara nyawanya masih dikandung badan, dia akan tetap menjaga dan merawat Nur Hasya. Istilah rasa terbeban tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya. Seluruh bahang kasih sayang beserta dorongan semangat darinya saling berpadu menyatu untuk disadurkan ke jiwa sebati Nur Hasya. Lantaran sebagai hamba yang amat lemah dan kerdil disisi Allah SWT, tiada hentinya dia memanjatkan doa setiap kali sejurus usai mengerjakan solat lima waktu sehari semalam. Diselangi dengan berzikir memuji kebesaran Allah SWT dan berselawat ke atas Rasul junjungan Nabi Muhammad SAW. Rutin melakukan amalan solat-solat sampingan, yakni solat-solat sunat juga merentangkan peluang dan kesempatan buat dirinya untuk terus dan terus memohon belas ehsan dari Allah SWT agar memperkenankan segala hajatnya. Insyaallah.

“Hasya nak cuba-cuba bertatih sendiri, ibu. Supaya biasa dengan suasana rumah kita dalam keadaan Hasya sekarang. Mana yang Hasya tak mampu buat ibu bantulah,” jelas Nur Hasya saat cuping telinganya terkesan akan riak suram alunan nada suara ibunya yang kedengaran sedikit kecewa. Bimbang kalau-kalau ibunya terasa hati dengan perbuatannya mahupun dalam menuturkan kata-kata. Sebolehnya, dia tidak mahu ibunya berasa dipinggirkan kerana Nur Hasya terlalu menyanjung tinggi segala pengorbanan dan jerih perih wanita yang amat dikasihinya itu hingga sanggup bersengkang mata menjaga dirinya. Entah terbalas ataupun tidak olehnya seluruh jasa dan perngorbanan Puan Hajar itu. Nur Hasya menguntumkan satu senyuman yang manis waima dia tidak berupaya untuk melihat seraut wajah jernih ibunya.Wajah tua yang teramat rindu untuk ditatapnya seperti dulu. Wajah itulah yang menjadi penyejuk mata, penenang minda dan pendamai jiwanya. Segaris senyuman yang terukir di bibir menerbitkan arca lesung pipit yang menambahkan lagi keserian pada wajah polos Nur Hasya.

Datin Maria yang sudah pun menukar posisi duduk dengan menyilang peha sekadar mencebik. Perutnya tiba-tiba terasa mual. Matanya menjuling tertunak aksi Puan Hajar yang membantu memperbetulkan kedudukan Nur Hasya di atas sofa. Gegendang telinganya terasa pijar tatkala menampan kata-kata polos tunang anaknya, Irfan. Ketidaksempurnaan Nur Hasya kini menebalkan lagi rasa kebenciannya terhadap gadis itu. Hancur harapannya untuk menjodohkan Irfan dengan Sharifah Karmila, anak sahabat karibnya saat anak terunanya itu menyuarakan hasrat untuk memperisterikan Nur Hasya. Alasan yang Irfan berikan padanya cuma satu.  Mereka serasi bersama dan sudah saling mengenali sejak menuntut di Universiti Sains Malaysia lagi. Sementelah, kerjaya mereka adalah dari bidang yang sama. Kedua-duanya doktor. Jadi, sudah tentu soal kesalahfahaman tidak akan timbul. Datin Maria terpaksa akur pada kedegilan Irfan apabila lelaki itu berikrar bersumpah janji akan terus menetap tinggal di villa mewah mereka selepas berkahwin. Memang itu yang dia inginkan. Irfan tidak boleh berkata tidak. Harus tetap selalu ada di depan matanya. Makan malam diatur bagi sesi berkenal-kenalan. Dan malam itu menyaksikan betapa terseksanya dia berpura-pura berlakon dan memaniskan muka saat pertama kali bersua bertentang empat mata dengan gadis yang cukup menjengkelkan pada analisanya. Penampilan Nur Hasya sewaktu bertandang ke villanya meloyakan anak tekaknya. Hanya mengenakan fesyen mini kurung yang dipadankan dengan tudung dari rona warna senada. Wajahnya sekadar dioles solekan yang nipis pucat. Sempat ekor matanya mengerling pada tas tangan yang tersandang di bahu. Bukan daripada jenama terkenal seperti Louis Vuitton mahupun Gucci. Dari situ, matanya meliar pula pada bahagian dada, pergelangan tangan dan jari jemari. Hanya seutas jam yang melekat di pergelangan tangan kiri gadis itu. Tiada eksesori lain yang menghiasi badannya. Ah, tidak luaknya jika dia beralah sedikit. Kerana hati dan mindanya sudah bersarang dengan himpunan pelbagai agenda. Tunggu saja nanti. Bibirnya mula meregang menguntumkan satu senyuman yang sinis dan berunsur jahat. Keningnya terangkat sedikit sebelum mempelawa Nur Hasya menikmati hidangan sajian ala barat di ruang makan yang sarat dengan perabot eksklusif gaya klasik.

“Uncle dan aunty apa khabar? Susah-susah aje datang jenguk Hasya.” Pertanyaan Nur Hasya menyentapkan lamunan Datin Maria. Biarpun tidak dapat melihat, Nur Hasya tetap melilaukan bebola matanya ke kiri dan ke kanan sebagai tanda meraikan kedatangan tetamu. Dia tersengih-sengih menampakkan barisan gigi atas bawah yang lengkap putih.

“Alhamdulillah kami sihat. Hasya macam mana?” jawab dan tanya Datuk Farid kembali menghalaukan kebungkaman suasana. Cepat-cepat dia menyambut pertanyaan Nur Hasya yang sepatutnya molek disahut oleh isterinya. Sempat dia menghantarkan isyarat melalui lirikan mata kepada isterinya itu agar bermanis muka sedikit. Setidak-tidaknya, memadamkan rasa tidak keruan yang bermukim di raut wajah Puan Hajar. Wanita itu dilihat begitu keruh sekali air mukanya. Mungkin saja tersentap dengan tingkah laku dan kata-kata isterinya sedari awal tadi. Datin Maria makin tidak senang duduk. Ada desahan kecil yang terbit dari riak nafasnya yang cukup jelas didengari. Pantang baginya diarah untuk melakukan apa yang tidak disukainya. Dia sudah tidak sanggup berlama-lama di situ.

“Macam nilah. Di pendekkan cerita, kami datang ni nak pulangkan cincin pertunangan milik Irfan. Suka atau tidak, pertunangan kalian harus diputuskan. Kami dah tetapkan jodoh lain untuk Irfan. Irfan perlukan seorang isteri yang sempurna. Yang boleh menguruskan makan minum dia. Dengan keadaan kamu sekarang, macam mana kamu nak buat semua tu?” Lancar bicaranya meluncur keluar dari mulut tanpa mempedulikan perasaan orang yang berada di sekitar.

Puan Hajar tergamam memandang ke wajah selamba Datin Maria. Manakala kulit muka Datuk Farid pula sudah bertukar merona merah padam. Barangkali naik berang, geram atau mungkin menahan rasa malu. Seketika, Datuk Farid dan Puan Hajar berpandangan sesama sendiri. Anak mata mereka kemudiannya bertukar arah tertunak ke wajah tenang Nur Hasya. Nur Hasya sekadar berlagak biasa bagaikan tidak terkesan akan kata-kata pedas Datin Maria. Puan Hajar menggeleng kecil tanda kesal. Nur Hasya tidak seharusnya didatangi dengan perkhabaran duka itu secara mendadak. Paling tidak, dia sendiri akan cuba mengumpul kekuatan untuk menyampaikannya kepada Nur Hasya secara perlahan-lahan. Segera diraih telapak tangan Nur Hasya dan menggenggamnya erat. Dalam situasi yang semakin menegang, dia pasti Nur Hasya amat memerlukan sokongan dirinya.

“Mar, awak sedar tak apa yang awak cakap ni?!” sergah Datuk Farid keras. Adrenalin kemarahannya sudah memuncak. Dia sudah tidak boleh bersabar lagi. Dayuslah dia andai masih membiarkan isterinya terus berkata sesuka hati. Sebelum keadaan menjadi semakin panas, dia harus memainkan peranan untuk menghentikan perbincangan itu buat sementara waktu. Jika tidak, entah apa lagi pengucapan gila yang bakal terhambur keluar daripada mulut lancang isterinya itu. Akal perempuan ternyata lebih pendek daripada lelaki. Bila berkata-kata persis bertih jagung. Ikut sesedap rasa sahaja tanpa berfikir terlebih dahulu sebarang impak di belakang hari.

Sergahan Datuk Farid menambahkan radang di hati Datin Maria. Dikerlingnya pada lelaki itu dengan pandangan yang tajam sebagai tanda memprotes. Suaminya itu seolah-olah tidak mahu berpihak padanya. Lebih mengutamakan perasaan orang luar berbanding perasaan isteri sendiri. Sedarkah lelaki itu bahawa apa yang sedang dia lakukan adalah semata-mata untuk menjaga status dan maruah keluarga. Salahkah dia, jika dia berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk Irfan. Irfan adalah satu-satunya zuriat tunggal yang dia dan Datuk Farid miliki. Bilangan ahli keluarga harus bertambah sebagai penyambung keturunan dan legasi perniagaan keluarga. Untuk merealisasikannya, Irfan harus disatukan dengan pasangan hidup yang sihat dan sempurna. Dan calon isteri yang sesuai dengan anak lelaki tunggal kesayangannya itu seharusnya Sharifah Karmila. Semua ciri-ciri yang dia perlukan, ada pada diri gadis itu. Ratu yang bakal mewarnai lagi suasana kehidupan di villa mewahnya. Bukannya Nur Hasya!

“Suka hati awaklah, bang. Tapi jangan harap saya akan terima dia sebagai menantu kita!” cantas Datin Maria tidak mahu mengaku kalah. Jari telunjuknya ditudingkan tepat ke arah Nur Hasya. Dia bingkas lalu bergegas laju keluar tanpa berpamitan. Hidangan kopi juga tidak sempat dijamahnya.

Datuk Farid sempat menyatakan sesuatu kepada Puan Hajar dan Nur Hasya sambil diperhatikan dari jauh oleh Datin Maria yang sudah pun mendahului berada di parkir kereta melalui pintu utama rumah yang terbuka luas. Dia mendengus lalu mengarahkan Pak Mat, pemandunya membunyikan hon kereta untuk beberapa kali. Akur pada permintaan puan besar majikannya, Pak Mat terkocoh-kocoh segera menekan punat bulat yang terletak di tengah setereng pemulas. Ada empat perut yang harus diisi termasuk dirinya sendiri demi meneruskan kelangsungan hidup. Masakan dia sanggup menyaksikan kemusnahan impian dan cita-cita Izzah dan Izzati, kedua-dua puteri kembarnya untuk bergelar seorang pendidik hancur begitu sahaja. Pengajian mereka di Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim, Perak masih berbaki dua tahun lagi. Sementelah, sejak akhir-akhir ini tahap kesihatan isterinya tidak begitu membaik ekoran daripada penyakit tiga serangkai yang dihidapi. Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, Pak Mat semakin terpukul apabila ibu kepada dua anak perempuan kembarnya itu juga telah didiagnosis oleh doktor menghadapi masalah buah pinggang. Salah satu daripada ginjal Jamilah didapati telah mengecut sekaligus menyebabkan sistem imun tubuh badannya turut menjadi lemah.

Mempunyai majikan yang dermawan lagi hartawan sebaik Datuk Farid, sedikit sebanyak telah meringankan bebanan kewangan yang tergalas di pundak bahu Pak Mat. Datuk Farid yang sudah menganggap dirinya sekeluarga seperti saudara sendiri dengan berbesar hatinya bersetuju mengambil langkah untuk membiayai sepenuhnya kos perubatan dan rawatan dialisis isterinya. Akan tetapi semenjak berkhidmat sebagai pemandu peribadi kepada peneraju utama syarikat alat telekomunikasi itu lebih dua puluh tahun yang lalu, Cuma ada satu persoalan yang tidak mampu Pak Mat rungkaikan. Sehingga ke saat ini, dia sering tertanya-tanya mengapakah sikap Datin Maria berlawanan sekali dengan sifat yang ada pada diri Datuk Farid. Wanita yang mempunyai campuran darah melayu-arab itu amat jarang sekali ingin bermanis muka dengan dirinya.

Menyedari akan kehadiran Datuk Farid, Pak Mat segera membuka pintu tempat duduk bahagian belakang kereta sebagai tanda hormat. Selang beberapa saat, BMW 5 Series itu meluncur pergi meninggalkan laman kediaman Puan Hajar.

No comments:

Post a Comment