Bertahun aku sendiri. Melewati hari-hari tanpa cinta. Bukan mudah merawat luka yang terpendam. Inilah penangan cinta pertama. Si dia? Mungkin sudah bahagia dengan jodoh pilihan keluarga yang sedarjat. Aku hanya mampu mendoakan kebahagiaan mereka dari jauh. Aku tidak cemburu. Jauh sekali untuk berdendam. Kukunci hatiku rapat-rapat. Kuhindari untuk setiap cinta yang datang. Bukan kerana aku membenci cinta. Cuma, aku belum bersedia untuk mempunyai sebarang komitmen. Yang mana melibatkan soal hati dan perasaan. Aku gusar andai hatiku terluka lagi. Namun, aku hanya insan biasa. Aku tidak menolak jika ditakdirkan satu hari nanti jodohku telah sampai. Pada-Mu Ya Allah, kupanjatkan doa agar mempertemukan jodoh yang terbaik buatku.
* * * * *
Satu hari, aku menerima panggilan telefon daripada kampung. Seperti biasa, aku menyambut salam ibu dengan penuh rasa rindu. Kami saling berbalas bertanya khabar memandangkan aku jauh bekerja di kota metropolitan. Di hujung perbualan, barulah ibu menyatakan hajat sebenar mengapa dia menghubungiku. Ibu meminta daku pulang ke kampung. Ada hal penting katanya. Ibu enggan membicarakan hal tersebut melalui talian biarpun aku telah memujuknya berkali-kali. Aku jadi penasaran. Perkara penting apakah yang ibu ingin bincangkan? Sungguh aku tertanya-tanya sendirian.
Hujung minggu menjelma. Seperti yang dijanjikan, aku bertolak pulang ke kampung dengan memandu kereta Perodua Viva milikku. Aku beruntung mempunyai seorang majikan yang baik hati dan bertimbang rasa. Aku dibenarkan bercuti selama tiga hari memandangkan perjalanan untuk pulang ke kampungku memakan masa kira-kira 6 hingga 7 jam. Bella Bridal terpaksa aku tinggalkan untuk beberapa hari. Kak Emma, majikanku bersama beberapa orang pekerja yang lain pasti tidak menang tangan melayan bakal-bakal pengantin yang ingin melangsungkan perkahwinan. Sememangnya, butik pengantin kami sering menjadi tumpuan. Terutama sekali apabila tiba musim cuti persekolahan. Rata-rata pelanggan berpuas hati dengan khidmat yang Bella Bridal sediakan.
* * * * *
“Asyik design baju kawin orang je. Bila lagi nak design baju kawin sendiri?” Kak Emma pernah mengusikku.
Bukalah pintu hatimu, dik. Sampai bila Auni nak terus hidup macam ni? Beri peluang pada Hadif. Akak yakin, Auni akan bahagia dengan dia,” pujuk Kak Emma. Kak Emma tahu kisah silamku. Dia bukan sekadar majikan. Malah, aku sudah dianggapnya seperti adik sendiri.
Aku hanya tersenyum tawar. Kata-kata Kak Emma seperti tidak meninggalkan kesan apa-apa padaku. Bagai angin lalu.
“Akak pun tahu kan jawapannya.” Aku tetap dengan pendirianku.
Entah mengapa hati aku begitu keras. Sedangkan aku tahu Hadif Naufal tidak pernah berhenti mengejar cintaku.
“Sekali lagi awak buat macam ni, saya berhenti kerja!” Aku pernah memberi amaran sebegitu kepada Hadif apabila dia cuba melamarku beberapa kali di hadapan Kak Emma dan rakan-rakan sekerjaku yang lain. Wajahku merona merah menahan rasa malu.
‘So sweet…’ Itulah kata-kata usikan mereka setiap kali Hadif datang ke butik membawa jambangan bunga dan coklat kegemaranku, Cadbury.
“Dia dah datang…Dia dah datang!” jerit Wawa bersambut dengan jeritan Fatin. Macam histeria nampak hantu.
Aku yang sedang ralit membuat lakaran gaun pengantin untuk majlis persandingan anak perempuan Datin Latifah buat-buat tidak dengar saja dengan teriakan mereka berdua. Aku dah faham sangat.
“Akak, cuba tengok siapa datang. Handsome hari ni, kak.” Fatin cuba memancing perhatianku.
Aku hanya mencebik kecil. Masing-masing berebut mahu memiliki jambangan bunga dan coklat Cadbury yang selalu Hadif bawakan untukku. Kak Emma pula hanya ketawa melihat telatah Wawa dengan Fatin yang tidak habis-habis menyakatku. Kadang-kadang, dia pun turut sama join mereka. Sampai satu tahap aku merajuk!
* * * * *
“Awak tak penat ke? Cukup-cukuplah Hadif. Tak ada apa yang istimewa dalam diri saya. Saya orang kampung. Keluarga saya bukan orang senang. Kita tak sepadan. Itu pun awak tak boleh nak fikir ke?” Panjang lebar aku berhujah. Termengah-mengah aku mengekori langkah Hadif dari belakang menuju ke kawasan lapang di Tasik Putrajaya.
Petang itu aku tiada pilihan. Kereta aku rosak. Kebetulan Kak Emma terpaksa pulang awal kerana anaknya Qisya, demam. Wawa dengan Fatin pula membonceng skuter bersama. Mahu tidak mahu, aku terpaksa menerima pelawaan Hadif yang sudah siap sedia menungguku di luar butik. Macam tahu-tahu sahaja. Aku naik angin satu badan apabila lelaki itu memungkiri janjinya untuk terus menghantarku pulang. Sebaliknya, dia memecut laju kereta Suzuki Swift miliknya itu menghala ke Putrajaya. Geram sungguh aku!
“Do I care?” Ringkas jawapan Hadif.
Sejak sampai, Hadif tidak lepas walau sesaat memandang ke wajahku. Rimas aku dibuatnya. Aku hanya pandang dia sekali-sekala. Itu pun semasa tiba giliran aku untuk berbicara. Selebihnya, aku hanya membuang pandang ke dada tasik yang terbentang luas di hadapanku. Kerana setiap kali kami bertentangan, aku rasa lain macam. Pandangan matanya itu…bagai ada satu aura yang bisa membuatkan jantungku berdebar-debar. Betul-betul menikam ke sanubariku. Astaghfirullahaladzim…Cepat-cepat aku beristighfar dalam hati.
“Memanglah awak tak kisah. Tapi penerimaan keluarga awak, kita tak tahu,” ujarku penuh keyakinan.
“Maknanya awak dah terima sayalah ni?” Hadif menyeringai sambil menjungkitkan keningnya.
“Bila masa pulak saya cakap macam tu?” Pantas aku menafikan. Terlepas cakapkah aku?
“Baru je…Tak sampai lima minit pun lagi,” selamba Hadif berkata.
“Err…itu contoh. Saya cakap berdasarkan secara keseluruhan dan mewakili bagi pihak kaum wanita yang serba kekurangan hidupnya berbanding awak yang mempunyai kedudukan, pangkat dan harta. Itu maksud saya.” Fuh! Punyalah ligat otak aku mencari fakta yang kukuh dengan harapan lelaki ini tidak cepat membuat sebarang kesimpulan di sebalik kata-kataku tadi.
“Oh ya? Kalau macam tu, saya silap dengarlah.” Hadif ketawa kecil meleret. Buat-buat ketawa pulak tu. Macam perli je!
“Saya nak tanya awak satu perkara, boleh?” Hadif meminta kebenaran untuk bertanya dan aku hanya menggangguk sahaja. Penat melayan dia bercakap.
“Takkan sikit pun awak tak terpikat pada saya?”
“What? Soalan apa ni? Eh Tolonglah. Jangan nak perasan sangat, ok!” Hampir nak termuntah aku. Agak-agaklah nak bertanya pun. Inilah soalan paling kelakar yang pernah aku dengar. Soalan syok sendiri namanya.
“Auni Batrisya, tunggu! Awak nak ke mana?” jeritan kecil Hadif menarik perhatian beberapa orang pengunjung yang sedang bersantai di sekitar kawasan itu.
“Saya nak balik!” balasku lantang. Aku menoleh sekali ke arah lelaki itu sebelum terus memacu langkah meninggalkannya yang sedang menjejakku dari belakang.
“Auni...” Hadif berjaya mendapatkanku. Dia cuba menghalang aku daripada terus melangkah dengan menggenggam erat lengan kiriku.
“How dare you? Lepaskan tangan saya!” Aku cuba menepis tangan Hadif yang melekat di lenganku. Semakin kuat aku meronta minta dilepaskan, kian hebat dia mencengkamnya. Tindakannya itu telah mengakibatkan aku mengaduh kecil.
Hadif segera membebaskan lenganku. Berkali-kali dia memohon maaf di atas keterlanjurannya yang hampir saja mencederakan diriku. Jelas terpancar di wajahnya riak rasa bersalah.
“Auni…”
“Hadif, tolong hantar saya balik.” Arahku.
Aku lihat Hadif seperti ingin menyambung kembali bicaranya yang sudah kusekat tadi. Sebelum dia sempat dia bersuara, adalah lebih baik jika aku dulu yang bertindak.
“Sekarang!” tegasku.
Hadif ketandusan kata. Dia tiada pilihan lain selain daripada terpaksa mengikut kemahuanku. Dia menapak perlahan menuruti langkahku yang mara menghala ke tempat parkir kereta.
Sepanjang perjalanan, aku hanya berdiam diri. Sengaja aku memandang ke luar tingkap. Aku hanya fikir mahu cepat sampai ke rumah saja. Sekilas melalui ekor mata, aku perasan yang Hadif sekejap-sekejap memandangku. Namun, tidak berani pula dia menegur.
“Kita pergi makan dulu?” saran Hadif takut-takut.
Aku tidak menjawab. Tanpa memandang ke wajahnya, aku hanya menggelengkan kepala.
Tiba-tiba, tanpa sebarang isyarat Hadif memberhentikan kereta di bahu jalan. Berkeriut bunyi keempat-empat tayar kereta menggesel dada jalan saat Hadif menekan brek secara emergency. Aku hampir-hampir saja tersadung ke hadapan. Mujurlah aku memakai tali pinggang keselamatan semasa menaiki kereta tadi.
“Awak dah gila ke?” Jeritku pada Hadif. Nafasku menaik dan menurun menahan marah. Dalam masa yang sama, aku masih lagi trauma dengan tindakan Hadif yang memberhentikan kereta secara mendadak.
“Ya, memang saya dah gila! Gilakan awak!” Giliran Hadif pula membalas jeritanku. Volume jeritannya cukup kuat berbanding aku.
“Tiga tahun Auni…Tiga tahun saya mengejar awak. Tanpa rasa jemu. Kerana apa? Kerana saya cintakan awak. Macam-macam cara saya buat demi memenangi hati awak. Tak cukup lagikah Auni?” bicara Hadif. Kali ini, suara percakapannya kembali normal. Tidak lagi menjerit seperti tadi.
“Saya tak pernah paksa awak, Hadif. Saya juga tak pernah bagi apa-apa harapan pada awak. Semuanya berlaku atas kehendak awak sendiri!” Aku cuba membela diri. Enggan membiarkan Hadif terus-terusan meletakkan kesalahan pada diriku.
“Auni, yang lepas biar lepas. Dia dah ada kehidupannya sendiri. Takkan awak tak mahu beri peluang pada diri awak untuk hidup bahagia seperti orang lain?” Soalan Hadif benar-benar merentap jiwaku. Dari mana lelaki ini tahu kisah silamku? Aku merenung wajah Hadif dengan penuh tanda tanya.
“Saya dah tahu semuanya, Auni. Dah lama pun. Kak Emma yang cerita pada saya. Sebab…sampai satu tahap saya dah give up sangat.” Hadif akhirnya berterus-terang dengan mendahuluiku. Mungkin melihat daripada riak wajahku, dia sudah dapat meneka soalan apa yang bakal aku hamburkan.
“Kalau awak dah tahu, baguslah. Saya rasa, awak pun tahu jawapannya. So, dah tak ada apa yang nak dibincangkan lagi.” Jelasku tanpa memandang ke wajah Hadif. Entah mengapa, hatiku menjadi sayu. Adakah sebab Hadif telah mengungkap kembali tabir cinta silamku ataupun kerana mengenangkan betapa tulusnya lelaki itu menyintaiku.
“Saya tak minta banyak, Auni. Saya cuma mahu awak beri satu peluang je pada saya. Please…” Ada nada getaran berlagu di hujung suara Hadif. Aku hanya mampu menahan air mata daripada gugur. Kami masing-masing membisu. Yang kedengaran hanyalah bunyi deruman enjin kereta yang sedang lalu-lalang di atas jalan raya.
* * * * *
Lewat sore, aku selamat tiba di kampung. Ibu menyambut kepulanganku dengan hati yang girang. Manakan tidak. Sejak menetap di Kuala Lumpur, aku jarang berpeluang pulang ke kampung jika tiada hal kecemasan. Faktor jarak dan tuntutan tugasku sebagai seorang pereka fesyen di butik pengantin memaksa aku untuk tinggal berjauhan dari ibu. Alhamdulillah, ibu cukup memahami aku. Namun, aku tidak pernah lupa menunaikan kewajipanku sebagai seorang anak dengan mengirimkan wang hasil titik peluhku kepada ibu setiap bulan. Setiap kali tibanya Syawal, aku wajib akan pulang ke kampung untuk menyambut lebaran bersama-sama keluarga dan sanak saudara. Itu sudah menjadi satu kemestian bagi anak-anak perantau seperti aku. Sesekali berjumpa, gamat dibuatnya. Meriah bila berkumpul ramai-ramai.
“Jauh melamun. Ingat siapa?” Aku tersentak saat bahuku disentuh lembut. Bayang-bayang wajah Hadif segera menghilang daripada kotak fikiranku. Ya Allah, lamanya aku mengelamun.
“Eh, ibu? Maaf…Auni tak perasaan bila ibu masuk,” ujarku tersipu malu.
“Boleh ibu duduk?” pinta ibu.
Aku mengangguk laju. Ibu duduk dibirai katil bersebelahanku. Kemudian, ibu menyuakan dua bekas cincin yang masing-masing berlainan bentuk dan warnanya. Kedua-duanya tampak mewah dan elegan.
Aku mengerutkan dahi tanda tidak mengerti. Lambat-lambat aku menyambut huluran kedua-dua bekas cincin itu daripada tangan ibu. Wajah ibu kupandang dan ibu mengangguk sebagai tanda isyarat supaya aku mengambilnya.
Menitis air mataku setelah ibu menerangkan letak duduk perkara sebenar di sebalik dua bekas cincin yang setiap satunya tergenggam kemas di tangan kiri dan kananku. Dua lamaran yang datang dalam satu masa!
“Fahim larikan diri ke luar negara masa malam akad nikahnya. Dia hanya akan balik ke Malaysia setelah keluarga dia merestui perkahwinan kamu berdua. Jika tak, dia takkan balik buat selama-lamanya.”
“Dan ini daripada pihak Hadif. Auni, ibu tak paksa. Auni buatlah keputusan yang Auni rasa betul. Ibu tahu, anak ibu takkan silap buat pilihan.” Nasihat ibu penuh mendalam.
* * * * *
Usai mengerjakan solat sunat Istikharah dengan meminta petunjuk daripada-Nya, aku semakin yakin dengan pilihanku. Hadif Naufal, akan ku kembali untuk mempertanyakan semula cintamu padaku. Walaupun dikau bukan cinta pertama, namun biarlah menjadi yang terakhir dalam hidupku. Sesungguhnya, cinta ini milikmu, sayang. Semoga cinta kita akan kekal sehingga ke Jannah, Amin.
tersentuh hati..jalan cerita nya saye suka sangat..teruskan usaha izara adelia..:)
ReplyDelete