Puan Hajar terjaga dari lena saat gegendang telinganya disapa oleh bunyi ketukan pintu yang hadir bertalu-talu. Sesekali, ketukan yang memecah keheningan malam nan pekat itu diselang-selikan dengan sayup-sayup ucapan salam. Semakin diamati, semakin jelas kedengaran riak empunya suara yang datangnya dari arah luar pintu utama rumah. Segera dia bingkas sambil tangannya pantas memetik suis kecil pada lampu tidur yang terletak bersebelahan katil. Serta-merta biasan cahaya memantulkan bebayang beberapa objek yang melatari di serata sudut ruang kamarnya itu.
Mustahil Nur Hasya sudah pulang dari bertugas dalam tempoh secepat itu. Walhal, baru beberapa jam yang lepas pihak hospital membuat panggilan telefon. Ada kes kecemasan yang memerlukan khidmat anaknya itu. Paling tidak pun, Nur Hasya hanya akan pulang dari bertugas seawal jam 6 pagi atau bergantung pada kadar kes kecemasan itu sendiri. Sekiranya perlu menjalakan tugas secara On-Call pula, Nur Hasya hanya akan pulang ke rumah selepas tamat waktu pejabat. Ini kerana dia perlu menyambung tugas sama ada di wad-wad atau terus ke klinik pesakit luar pula. Begitulah rutin harian Nur Hasya semenjak berkhidmat sebagai seorang doktor pakar bedah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah,Klang.
Tidak semena-mena hatinya dicuit rasa curiga. Manalah tahu kalau-kalau di luar rumahnya itu orang jahat. Semenjak dua menjak ini, heboh di dada-dada akhbar mahupun di kaca-kaca televisyen dengan pelbagai kes. Cepat-cepat Puan Hajar beristighfar memohon perlindungan Allah S.W.T agar dijauhkan dari segala musibah. Seketika, bunyi ketukan dan ucapan salam tersebut lenyap.
“Astaghfirullahaladzim.”
Puan Hajar beristighfar lagi saat pintu kamarnya dibuka seseorang. Haikal menjengah di sebalik muka pintu. Wajahnya mempamerkan riak cemas. Dari gerak bahasa tubuhnya, Puan Hajar yakin yang anak bongsunya itu ingin menyatakan sesuatu kepadanya. Tentu hal yang sama seperti apa yang sedang berlegar di ruang benaknya ketika itu.
“Ibu baru nak kejutkan kamu. Ada orang datang, Haikal. Jom teman ibu ke depan.”
Puan Hajar segera menarik pergelangan tangan Haikal. Siapa pun yang datang, Puan Hajar tidak mahu membiarkan tetamunya terus-terusan menunggu lama di luar. Puan Hajar bernasib baik kerana Haikal ada di rumah. Sudah menjadi kebiasaan Haikal akan pulang berhujung minggu pada setiap hari sabtu dan ahad. Haikal yang masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu baru berusia 21 tahun. Tinggal beberapa semester sahaja lagi sebelum dia menamatkan pengajian dan bakal dianugerahkan diploma dalam bidang undang-undang. Dan jika tiada halangan, dia ingin melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pula. Bakal bergelar seorang peguam, tiada apa yang lebih dia harapkan agar dapat membuka satu firma guaman sendiri kelak. Tanpa sebarang bantahan, Haikal mengikut sahaja arahan ibunya itu.
Puan Hajar tergamam seketika saat tiba di ruang tamu rumah. Di hadapannya kini adalah dua orang anggota polis. Seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Mereka lengkap kemas berpakaian seragam. Seumur hidupnya, itulah kali pertama dia berhadapan dengan pihak polis. Bersua muka dan bertentang mata.
“Selamat malam, puan. Kami minta maaf datang tengah-tengah malam macam ni. Saya Inspektor Adam dan ini Koperal Claudia. Kami dari IPD Shah Alam,” ujar pegawai polis lelaki tersebut memperkenalkan diri.
Sementara Koperal Claudia yang berketurunan bukan muslim itu pula menghulurkan tangan ke arah Puan Hajar untuk berjabat tangan. Segera huluran tangan gadis tersebut disambutnya mesra. Namun, hatinya masih tertanya-tanya akan tujuan kedatangan dua orang anggota polis tersebut. Sesekali, Haikal direnungnya. Haikal membalas renungan ibunya dengan perasaan yang remuk redam di hati. Haikal tahu. Sepasang mata tua itu seakan meminta pengertian dari dirinya. Haikal hanya mampu menundukkan kepala ke bawah. Meratah permukaan lantai. Dadanya kian berombak.
Pada permulaannya, dia juga agak bingung saat menerima perkhabaran itu. Antara percaya dengan tidak. Seakan kepalanya dihempap batu yang besar. Itu dia. Entah bagaimana reaksi ibunya nanti.
“Err…ada apa ya, encik?” soal Puan Hajar kebingungan. Dia berasa tidak sedap hati pula. Kedua-dua raut wajah Inspektor Adam dan Koperal Claudia dipandangnya silih berganti.
“Puan, kami harap puan dapat bersabar ya. Begini puan, kami nak maklumkan yang anak puan Nur Hasya binti Mustafa telah terlibat dalam kemalangan jalanraya. Pihak kami percaya yang anak puan mungkin hilang kawalan semasa memandu,” terang Inspektor Adam.
“Ya Allah!” ucap Puan Hajar serta-merta. Tidak semena-mena kepalanya rasa berat. Nafasnya tersekat-sekat. Benarkah apa yang dia dengar sekarang? Jika benar, mana buktinya? Namun, lekas-lekas dia beristighfar biarpun debar di dadanya mula menghimpit.
“Betul ke ni, encik?” soal Puan Hajar. Sangsinya masih bersisa.
Haikal merapati dekat Puan Hajar. Dipaut erat bahu ibunya itu. Tangan si tua itu pula diraih lembut dan dia memegangnya kejap-kejap agar ibunya bisa tenang. Haikal tidak punya sebarang kekuatan untuk mengiyakan apa yang telah Inspektor Adam sampaikan. Malah, dia juga tiada daya untuk menidakkannya kerana ianya benar belaka.
Niat Haikal untuk beradu usai menyiapkan beberapa tugasan yang dibekalkan oleh pensyarah telah terbantut. Jam telah pun melepasi angka satu pagi sewaktu dia ingin merebahkan badan di atas katil bujangnya. Bunyi orang mengetuk pintu utama rumah bagai mencengkam-cengkam gegendang telinganya. Alangkah terkejutnya dia setelah membuka pintu. Dan dialah orang pertama yang mengetahui khabar duka tentang kemalangan yang telah menimpa kakaknya itu.
“Bertenang ya, puan. Kami ada membawa bukti yang anak puan memang telah terlibat dalam kemalangan.” Inspektor Adam cuba menenangkan Puan Hajar sebelum mengarahkan anak buahnya iaitu Koperal Claudia supaya menyerahkan tas tangan berwarna hitam itu kepada Puan Hajar sebagai tanda bukti kejadian tersebut.
Ya, dia kenal akan tas tangan itu. Memang milik Nur Hasya! Dengan tangan yang terketar-ketar, Puan Hajar cuba menyambut tas tangan yang diunjukkan oleh Koperal Claudia kepadanya. Ruang mindanya terasa kosong seketika. Tidak boleh dinafikan apa-apa lagi. Bukti sudah jelas di depan mata dan kini berada dalam genggamannya. Mulutnya tidak henti-henti beristighfar agar Allah S.W.T. memberinya kekuatan dan kesabaran. Harapannya ketika itu cuma satu. Dia berdoa agar Nur Hasya selamat. Kini, airmatanya tumpah jua membasahi pipi.
“Sabar ibu,” ucap Haikal sepatah. Segera dia memeluk Puan Hajar. Dia juga ikut menangis.
Setelah keadaan sedikit reda, Inspektor Adam meminta Haikal supaya mengikutnya ke balai polis untuk membuat urusan laporan. Sementara Puan Hajar diminta terus ke hospital bersama anggotanya yang siap menunggu di dalam kereta peronda polis. Koperal Claudia pula telah diarahkan untuk mengiringi Puan Hajar bersama-sama ke hospital di mana Nur Hasya telah dikejarkan.
“Koperal, kamu iring Puan Hajar ke hospital,” arah Inspektor Adam.
“Baik, tuan,” sahut Koperal Claudia sebagai tanda menurut perintah.
Malam kian larut. Mereka segera berpecah menuju ke destinasi masing-masing seperti yang telah ditetapkan.
No comments:
Post a Comment