“Ibu dah sedar?” ucap Haikal apabila mendapati puan Hajar mulai membuka kelopak mata sedikit demi sedikit.
Puan Hajar mengamati panorama sekeliling. Tempat itu terasa asing buatnya. Daripada siling, matanya turun berkalih meratah permukaan dinding. Mendatar sahaja warnanya. Semua bercat putih.
“Ibu pengsan tadi. Sekarang, kita kat bilik rawatan,” ulas Haikal lembut. Dia tahu, ibunya masih nanar ekoran pengsan sewaktu di hadapan bilik bedah tadi.
Mendengar kata-kata Haikal itu, puan Hajar segera beristighfar panjang. Memorinya mula hadam kembali. Jika diminta untuk hafal kembali setiap bait-bait kata yang dihurai oleh doktor Khairul itu pun dia boleh. Cuma sehabis doktor Khairul memberitahu tentang impak daripada insiden kemalangan yang menimpa Nur Hasya itu, puan Hajar sudah tidak ingat apa-apa lagi. Sedar-sedar sahaja, dia mendapati dirinya sudah terbaring di atas katil besi yang juga bercat serba putih itu. Masih terngiang-ngiang lagi di corong telinganya yang Nur Hasya bakal hilang daya penglihatan.
“Ibu nak tengok kakak,” gesa puan Hajar. Saat itu, dia terlalu kepingin untuk melihat keadaan Nur Hasya. Naluri hatinya begitu meronta-ronta. Bagai sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Dia bingkas bangun dari pembaringan. Jarum yang terbenam di pangkal tangan kanannya cuba dilepaskan. Puan Hajar mengaduh kecil. Ngilu terasa dek tusukan jarum itu menujah-nujah bergesel di dalam urat. Tetapi, tindak-tanduknya itu cepat-cepat dihalang oleh Haikal.
“Nanti dulu, ibu. Tekanan darah ibu belum stabil lagi. Lagipun, kena habiskan sebotol drip ni dulu. Baru boleh cabut. Tinggal sikit saja lagi ni, ibu,” pujuk Haikal sambil memegang botol drip yang tergantung kemas di stand. Botol plastik berwarna putih kalis pandang itu hampir kemek. Baki airnya sudah terbahagi dua.
Puan Hajar mendongakkan sedikit kepala. Matanya terkebil-kebil menatap isi botol yang tinggal lagi separuh. Cecair yang turun menitik perlahan setitis demi setitis itu terus mengalir ke dalam badannya melalui saluran wayar putih jernih.
Tiba-tiba puan Hajar mendapat satu idea.
“Kalau macam tu, kita bawa sekali lah botol air ni. Macam mana?” cadang puan Hajar. Dia berharap Haikal akan setuju dengan buah fikirannya itu. Bukannya dia tidak pernah lihat pesakit-pesakit di hospital membawa botol air itu bersama mereka jika terpaksa pergi ke tandas, misalnya.
Haikal menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Serba-salah dia jadinya.
“Tak boleh, ibu. Ibu tak boleh ke mana-mana. Doktor dah pesan pada Haikal tadi. Ibu kena berehat dulu di sini sampai tekanan darah ibu jadi normal semula.” Haikal memujuk untuk kali kedua. Kali ini, dia berharap ibunya akan mengerti. Alasannya bersebab.
Puan Hajar menunduk sebelum memalingkan wajah ke sisi lain. Air mata mula menakung di tubir kedua-dua kelopak matanya. Saat itu, dia bagaikan sedang berperang dengan perasaannya sendiri.
“Ibu…” Haikal mula rasa tidak enak. Dia khuatir kalau-kalau puan Hajar berkecil hati dengan jawapannya.
Puan Hajar diam membatu. Masih lagi kekal pada posisi yang sama. Enggan mengalihkan wajah. Entah kenapa dia jadi begitu beremosi sekali.
“Ibu, Haikal faham…” kata-kata Haikal terjeda di situ kerana puan Hajar telah mencantasnya terlebih dahulu.
“Apa yang kamu faham? Kamu tak faham. Dari malam membawa ke siang. Tapi, ibu masih lagi belum dapat jenguk kakak kamu. Sekurang-kurangnya, ibu nak ada depan matanya bila dia sedar,” ujar puan Hajar kesal. Ritma nada suaranya berlagu sendu. Seketika, kedengaran esakan tangisan kecil yang terbit daripada bibir wanita itu. Air matanya tumpah membasahi pipi. Dia gagal mengawal hiba.
“Ibu, maafkan Haikal. Haikal tak berniat untuk halang ibu daripada jumpa kakak. Kalau ibu fikir macam tu, ibu salah. Haikal cuma nak ibu rehat kat sini sekejap saja. Ini semua untuk kebaikan ibu.” Jelas Haikal cuba memberi pengertian kepada ibunya. Haikal tahu, emosi ibunya dalam keadaan tidak stabil.
“Tak ada apa yang lebih baik selain dapat tengok kakak kamu. Kamu takkan faham naluri seorang ibu. Kalau lah boleh pindahkan segala kesakitan anak-anak kepada ibu, ibu rela.” Puan Hajar pasrah.
“Ibu, jangan cakap macam tu.” Haikal segera mendakap erat tubuh puan Hajar ke pangkuannya. Sebak di dada mula menguasai dirinya. Kalau lah ibunya dapat merasai kesedihan yang menyerkupi jiwanya. Namun, sebagai seorang anak lelaki dia harus berlagak kuat. Jika dia mempamerkan rasa lemah, ibunya pasti ikut patah semangat. Dan itu hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Haikal membiarkan sahaja puan Hajar melepaskan segala yang terbuku di hati dengan menterjemahkannya melalui tangisan. Menangis memang tidak elok untuk kesihatan. Tetapi menangis juga ada manfaatnya. Asalkan tidak berlebihan.
Haikal pernah terbaca satu kajian yang mengatakan bahawa air mata memainkan peranan penting dalam mengeluarkan hormon stress yang terdapat di dalam tubuh manusia. Ianya dikenali sebagai endorphin leucine-enkephalin dan prolactin. Selain dapat menurunkan level tekanan, air mata juga membantu melawan penyakit-penyakit yang disebabkan oleh stress seperti tekanan darah tinggi. Selain itu, sistem organ dalaman badan seperti otak dan jantung juga akan menjadi lancar. Meskipun kita rasa bagai didera dengan pelbagai macam masalah dan dugaan, namun setelah menangis biasanya akan muncul satu perasaan lega.
Puan Hajar mengalihkan wajahnya yang terdampar di dada bidang Haikal setelah tangisannya mulai reda. Bahunya terhejut-henjut menahan saki-baki esakan. Segera Haikal membebaskan kedua-dua belah tangannya dan meleraikan pelukan. Perlahan dia duduk di birai katil bersebelahan ibunya.
Haikal mengesat sisa-sisa jernih air mata yang masih melekat di kedua-dua belah pipi puan Hajar dengan hujung jari-jemarinya.
“Ibu, Haikal tahu semua ni berat buat ibu. Haikal faham. Ibu sedih dan risau sebab ibu sayangkan kakak. Ibu mana yang sanggup tengok anak-anaknya dalam kesakitan dan kesengsaraan. Haikal pun sedih, ibu. Kakak satu-satunya kakak yang Haikal ada. Tapi, Haikal juga tak mahu apa-apa terjadi pada ibu. Sebab itu, Haikal nak ibu rehat dulu sampai tekanan darah ibu dah ok. Bila doktor dah pastikan yang ibu dah ok, Haikal sendiri yang akan bawa ibu tengok kakak. Kalau ibu sakit, macam mana ibu nak jaga kakak? Ibu pun tahu kan keadaan kakak? Kita kena kuat demi kakak. Kalau bukan kita, siapa lagi ibu? Haikal merayu sangat pada ibu. Tolonglah…” Haikal tewas. Kali ini, tiba gilirannya untuk menghamburkan tangis. Dia sudah tidak mampu untuk menahan perasaannya lagi. Disembamkan wajahnya ke bahu puan Hajar. Di situ, dia menangis semahu-mahunya.
“Ya Allah, apa aku dah buat ni? Maafkan ibu, Haikal. Ibu terlalu ikutkan perasaan,” ucap puan Hajar. Sambil mengusap lembut rambut Haikal, tiada hentinya dia beristighfar lantaran menyedari kekhilafan diri. Air matanya tumpah lagi berjujuran menyinggah pipi.
No comments:
Post a Comment