Pages

Untukmu Cinta (Bab 4)

Puan Hajar tiba di perkarangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dengan menaiki kereta peronda polis lebih kurang dua puluh minit kemudian. Dia yang ditemani oleh Koperal Claudia terus bergegas ke bahagian kecemasan. Menurut salah seorang jururawat yang bertugas di kaunter tersebut, Nur Hasya masih lagi berada di dalam bilik pembedahan. Berderau darah Puan Hajar tatkala mendengar kata-kata jururawat itu. Seriuskah kecederaan yang Nur Hasya alami? Sampaikan terpaksa menerima rawatan di dalam bilik pembedahan?

“Macam mana keadaan anak saya, nurse?” soal Puan Hajar kebimbangan. Sesekali, matanya melirik ke arah bilik pembedahan yang terletak betul-betul di hadapan kaunter tempat jururawat tersebut bertugas. Lampu yang masih menyala di atas kepala pintu menandakan operasi pembedahan belum selesai dan sedang berlangsung.

“Maaf puan, saya sendiri tak pasti dengan tahap keadaan doktor Hasya. Harap puan dapat bersabar dulu,” jawab jururawat yang bernama Suhaila itu dengan nada yang lembut. Dia menyarankan agar Puan Hajar duduk di tempat ruangan menunggu yang disediakan sementara operasi pembedahan selesai.

“Mari puan. Kita duduk dulu di sana,” pelawa Koperal Claudia sambil menuntun perlahan lengan Puan Hajar menuju ke arah deretan kerusi berwarna biru nila. Dia berbuat begitu kerana khuatir kalau-kalau Puan Hajar akan lemah semangat. Tanpa berfikir panjang, Puan Hajar menganggukkan kepala. Tanda setuju sahaja dengan cadangan itu.

Sejam telah berlalu. Puan Hajar hampir-hampir terlelap. Namun, dia masih belum nampak kelibat sesiapa pun yang keluar dari bilik pembedahan. Baik doktor, mahupun jururawat. Sukar untuk dia mengetahui khabar tentang keadaan Nur Hasya di dalam. Dia mulai rasa tidak senang duduk. Dipujuk hatinya supaya tidak berfikiran yang bukan-bukan. Walaupun sedikit demi sedikit ada cambahan anasir negatif yang cuba mempengaruhi mindanya. Cepat-cepat dia segera beristighfar. Tidak henti-hentinya dia berdoa kepada Allah SWT agar Nur Hasya selamat dan tidak mengalami kecederaan yang teruk.

“Puan nak saya tolong apa-apa ke? Atau puan nak minum? Saya boleh bawa puan ke kantin,” pelawa Koperal Claudia. Dia masih setia menemani Puan Hajar dan akan beredar apabila Haikal tiba ke situ nanti. Sedari tadi, dia asyik memerhatikan wanita itu. Dari lenggok bahasa tubuhnya, dia tahu Puan Hajar resah. Atau mungkin berhasrat ingin ke mana-mana. Barangkali malu untuk memberitahunya. Koperal Claudia beranggapan sendiri.

Puan Hajar sedikit tersentak dengan pertanyaan Koperal Claudia yang masih tidak berganjak duduk di sebelahnya itu dari mula mereka sampai. Dia tidak menjangka yang anggota polis wanita itu perasan akan keresahan yang melanda diri dan perasaannya. Dia juga diterpa rasa serba salah memikirkan kesanggupan koperal tersebut untuk menemaninya di situ pada waktu sebegini. Sekalipun dia ingin ke mana-mana, biarlah dia tunggu sehingga Haikal sampai. Tidak tergamak rasanya dia untuk menyusahkan gadis tinggi lampai itu lagi.

“Terima kasihlah cik. Makcik tunggu anak lelaki makcik datang. Lagipun, anak makcik masih kat dalam,” balas Puan Hajar menolak huluran pertolongan Koperal Claudia dengan cara yang baik. Mendengarkan jawapan Puan Hajar itu, Koperal Claudia hanya menggangguk kecil dan menguntum senyum.

Sedang dia berkira-kira untuk mengajak Puan Hajar bersembang, telefon bimbitnya berdering. Menandakan ada panggilan masuk.

“Sebentar ya puan.” Koperal Claudia memberikan isyarat kepada Puan Hajar sebagai tanda untuk menjawap panggilan telefon tersebut. Dia bangun lalu berjalan beberapa tapak ke hadapan. Puan Hajar hanya memerhatikan dari tempat duduknya. Dia dapati Koperal Claudia kurang berbicara banyak dengan empunya pemanggil. Apa yang sempat dia dengar hanyalah ‘ya, tuan’ dan ‘baik, tuan’. Itu sahaja. Tamat saja perbualan, Koperal Claudia kembali lagi ke sisi Puan Hajar.

“Panggilan dari tuan saya, Inspektor Adam. Sekejap lagi anak puan sampailah. Pihak kami sedang dalam perjalanan ke sini.” Koperal Claudia menyampaikan hal tersebut biarpun Puan Hajar langsung tidak menyoal apa-apa. Sekejap lagi, tugasnya di situ akan berakhir. Dia akan terus ke balai polis kerana ingin menyambung kerja semula.

Jam hampir mencecah ke angka empat pagi. Puan Hajar berhajat untuk ke surau berhampiran sebaik sahaja Haikal sampai nanti. Dia ingin menunaikan solat sunat sebentar. Lazimnya, seawal itu dia akan bangun bagi menunaikan solat-solat sunat. Kemudian, terus menunaikan solat subuh. Begitulah rutinnya setiap hari. Jika berkelapangan, dia akan ke masjid yang berhampiran dengan kediamannya untuk berjemaah.

“Ibu, kakak macam mana?” soal Haikal laju. Sebelumnya tadi, Puan Hajar sempat terpandang Haikal yang deras meluru ke arahnya sebaik melepasi pintu masuk ke situ.

“Kakak masih kat dalam. Belum ada apa-apa berita. Dah lama sangat ni. Ibu risau.” Puan Hajar menzahirkan rasa kebimbangannya sejurus mengucapkan terima kasih kepada Koperal Claudia yang mula meminta diri untuk beredar.

“Biar Haikal tanya jururawat ya, ibu?” pinta Haikal. Dia juga diburu kerisauan. Puan Hajar hanya membalas dengan anggukan kecil.

Baru sahaja kaki Haikal ingin menghala ke kaunter tempat jururawat bertugas, pintu bilik bedah terbuka. Serentak dengan itu, muncul seorang lelaki berkaca mata yang lengkap berpakaian hijau dari sebalik perut pintu. Diikuti oleh seorang lagi lelaki di belakangnya. Mereka bergerak ke satu sudut berhampiran. Di situ, kedua-duanya seperti sedang membincangkan sesuatu. Puan Hajar pasti kedua-dua orang lelaki tersebut adalah doktor yang merawat Nur Hasya di dalam. Pantas dia menarik pergelangan tangan milik Haikal bergegas menuju ke arah lelaki-lelaki itu.

Kedua-dua lelaki yang sedang rancak berdiskusi itu serta-merta menghentikan perbincangan mereka apabila menyedari akan kehadiran Puan Hajar dan Haikal.

“Maaf doktor. Saya ibu kepada pesakit di dalam. Macam mana keadaan anak saya?” soal Puan Hajar. Wajah kedua-dua orang doktor tersebut dipandangnya seorang demi seorang. Saat itu, dia bagaikan baru mendapat bantuan oksigen. Penantiannya sejak beberapa jam yang lalu kini bakal tamat. Segala persoalan yang bermain di mindanya juga akan terjawab. Namun, keresahan di hati masih bersarang. Debar di dada tidak terpadam. Sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

Haikal berdiri di sebelah Puan Hajar. Berposisi tepat-tepat di hadapan kedua-dua orang doktor tersebut. Dia juga tidak sabar untuk mengetahui khabar tentang kakaknya.

“Puan jangan risau, ya. Doktor Hasya selamat. Keadaanya juga stabil. Cuma…” jawab salah seorang daripada doktor tersebut. Kata-katanya mati di situ untuk seketika. Anak matanya merenung tepat ke wajah Puan Hajar dan Haikal bergilir-gilir.

Tersirap darah Puan Hajar secara tiba-tiba. Pada mulanya saat doktor itu mengkhabarkan yang Nur Hasya selamat dan keadaannya stabil, dia sedikit lega. Namun bila terkeluar sahaja perkataan ‘cuma’ daripada bibir doktor itu, Puan Hajar mula dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Hendak-hendak bila melihat air muka kedua-dua orang doktor itu sedikit berubah.

“Cuma apa doktor? Ada apa-apa yang tak kena ke dengan anak saya?” Puan Hajar terus mengasak tanya. Dia tidak sedar entah bila Haikal mula menggenggam jemarinya. Dan dia membalasnya erat. Mereka sama-sama berdebar menunggu jawapan.

Doktor Lokman menghela nafas. Mulutnya seakan berat untuk menjawab pertanyaan Puan Hajar meskipun harus mengkhabarkan perkara yang sebenar. Hatinya kurang kental apabila melibatkan rakan sekerja sendiri. Jika orang awam, pasti dia tidak berasa sepayah itu. Dia memandang doktor Khairul, yang turut serta bersamanya sewaktu merawat Nur Hasya di dalam bilik pembedahan tadi. Berharap agar rakan di sebelahnya itu mengambil tugas untuk menjawab bagi pihaknya.

“Bertenang ya, puan. Apa yang nak kami sampaikan ni, mungkin berat buat puan sekeluarga. Kami turut simpati atas apa yang berlaku. Kedua-dua belah mata doktor Hasya cedera teruk. Kami berjaya keluarkan semua serpihan kaca. Dan kami dah cuba lakukan yang terbaik. Tapi, lukanya terlalu parah. Besar kemungkinan dia akan hilang deria penglihatan.” Akhirnya doktor Khairul bersuara. Mewakili pihak doktor Lokman yang tadinya tidak sanggup untuk berterus-terang.

Bagai dihempap kepala dengan batu yang besar, Puan Hajar hampir terduduk. Kedua-dua engsel sendi lututnya terasa longgar. Lemah dan hampir longlai. Pandangannya berbalam-balam.

“Ibu!” Haikal segera bergagah menahan badan ibunya yang hampir rebah. Bimbang andai tersungkur ke lantai. Doktor Lokman dan Doktor Khairul turut segera memberikan bantuan.

“Nurse, trolley please!” arah Doktor Lokman kepada jururawat yang berada di situ.

“Ibu, bangun bu…” lirih suara Haikal sambil memangku tubuh Puan Hajar. Dia bingung dengan situasi itu. Mana mengenangkan kakaknya lagi. Dan sekarang ibunya pula sedemikian.

Puan Hajar dapat mendengar sayup2 namanya dipanggil berulang kali tatkala dirinya sudah terbaring di atas troli. Namun, dia tidak mampu untuk membuka mata walau seinci. Terasa berat. Akhirnya, dunianya tenggelam bersama bunyi roda troli yang berkeriang-keriut menggesel dada lantai.

No comments:

Post a Comment