Firas menopangkan kedua-dua hujung sikunya di atas meja pejabat. Jari-jemarinya bergerak perlahan memicit dahi. Pening kepalanya hadir lagi bersama-sama sakit yang amat mencucuk-cucuk. Penglihatannya kabur dan menjadi berganda sewaktu anak matanya leka menyemak laporan dan kertas kerja daripada fail-fail yang tersusun rapi di atas meja. Adakala, pandangannya mudah berpinar-pinar. Firas menyedari akan hal itu sejak beberapa bulan yang lepas. Pada kebiasaannya jika mengalami sedemikian, sakitnya boleh membaik setelah dia mengambil ubat penahan sakit. Akan tetapi, sakit kepalanya itu semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Seolah-seolah tubuh badannya sudah tidak boleh menerima lagi kesan dan tindakbalas ubat itu. Segalanya bermula pada satu pagi saat dia terjaga dari lena. Kepalanya terasa berat dan pandangannya berbalam-balam apabila dia ingin bangun menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Firas beralih dengan cuba merehatkan kepala dan belakang badannya ke kerusi pejabat. Tali lehernya dilonggarkan sedikit bagi memberikan keselesaan untuk bernafas. Butang baju kemeja juga dibuka satu pada bahagian yang paling atas. Matanya terpejam rapat saat menahan kesakitan yang merengat itu. Tidak sampai beberapa saat, dia tersentak saat telinganya menangkap bunyi masuk interkom. Lambat-lambat dia menekan butang itu dengan hujung jari tengahnya.
“Ya Rania...” jawab Firas malas. Kepala dan badannya masih lagi kekal pada posisi yang sama.
“Encik Firas, ada tetamu.” Bergema suara Rania, setiausahanya memenuhi ruang kamar pejabatnya. Sedari tadi, hanya bunyi detakan jarum jam dinding yang menjadi halwa santapan telinganya. Firas mengerutkan dahi. Matanya mengerling ke arah jam berbentuk bulat di dinding sebelah kirinya. Jarum jam sudah menginjak ke angka 11 minit pagi. Setahunya, dia tidak mempunyai sebarang temujanji pada hari itu. Jika adapun, hanya di sebelah petang sahaja. Itu pun baru sahaja dibatalkan sejam yang lalu oleh Mr. Wong, pemaju perumahan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Hatinya sedikit lega saat menerima perkhabaran itu. Dalam keadaan tidak mengenakkan itu, dia malas hendak berjumpa sesiapa. Mindanya berkira-kira untuk mengambil cuti separuh hari. Tiba sahaja waktu makan tengahari nanti, dia ingin terus pulang ke pangsapurinya untuk berehat.
“Siapa?” soal Firas kemudiannya.
“Ada cik Kay kat sini. Boleh saya benarkan dia masuk?” Rania menjawab dan bertanya untuk meminta kepastian daripada Firas. Menjadi tanggungjawabnya untuk menapis setiap panggilan dan kedatangan tetamu sebelum dibawa berjumpa dengan ketuanya itu.
Tot...tot...tot... Nada mendatar itu berlagu di hujung talian. Suasana kembali menyepi. Tiada lagi suara halus Rania kedengaran. Firas tertegun saat daun pintu biliknya terkuak luas.
“Encik Firas, saya minta maaf. Saya...” Ungkapan maaf yang terzahir dari bibir Rania terjeda apabila matanya menampan isyarat tangan Firas. Roman wajah mulusnya beriak sedikit cuak. Dia faham akan isyarat itu dan menggangguk kecil. Sekilas dia menyorot pandang ke wajah perempuan yang telah mencetuskan situasi yang sedikit tegang itu sebelum meminta diri untuk kembali ke tempat duduknya semula. Perempuan itu telah bertindak sesuka hati apabila jarinya menekan mati butang interkom bagi menghentikan talian. Sudahlah tidak menghormati tugasnya, hatinya bertambah geram dengan tingkah teman wanita majikannya itu. Dengan lagak sombongnya perempuan itu menerobos masuk ke dalam bilik Firas tanpa menghiraukan adab-adab yang sepatutnya dituruti.
“Harapkan muka je lawa. Tapi berlagak!” omel Rania sendirian. Dia kembali menyambung kerja.
“Sayang, I miss U...” ucap Karmila meleret tersengih manja sambil kakinya pantas menuju ke tempat duduk Firas. Dia cuba untuk merangkul bahu dan berniat untuk merehatkan pinggulnya di atas ribaan lelaki itu. Tas tangannya dicampak perlahan ke atas sofa. Gaun pendek berwarna merah garang tanpa lengan separas lutut yang tersarung ketat mengikut potongan badan menyerlahkan lagi keseksian tubuhnya yang tinggi lampai itu. Rambut ikalnya yang merupakan lambang mahkota kecantikan seseorang wanita itu dibiarkan lepas bebas separas bahu. Jarang sekali dapat melihat keaslian rupa parasnya yang sentiasa ditata rias dengan mainan warna-warna solekan yang agak tebal.
Namun penampilan dan tingkah Karmila pada hari itu langsung tidak mencuit perasaan lelaki Firas. Keimanannya sedikit pun tidak tergoyah seperti kelazimannya. Nalurinya juga tidak tergoda akan keharuman lembut yang sentiasa membaluti badan perempuan di hadapannya itu. Malah, aroma yang berasak-asak menusuk masuk ke dalam rongga hidungnnya hanya menambahkan lagi pusing di kepalanya. Firas segera bingkas saat bibir merah Karmila hampir mencecah menyentuh kulit pipinya. Tindakan drastik Firas itu ternyata seolah-olah memakan dirinya sendiri. Rasa berpinar-pinar hadir menerjah secara tiba-tiba. Lehernya menjadi tegang. Serasa bagaikan ditunak skru. Hampir sahaja dia gagal mengawal keseimbangan tubuhnya yang sedikit terhuyung-hayang. Kedua dua tangannya sempat mencengkam erat permukaan gigi meja. Peluh jantannya mulai terbit merenek di dahi. Bahagian belakng baju kemejanya melembap.
“What’s wrong with you, Firas?” soal Karmila kehairanan. Dahinya berkedut seribu. Bola matanya juga membuntang. Dia pelik melihat keadaan Firas sedemikian rupa. Bahang gelabah mula menyerkupi dirinya. Karmila tidak pasti mahu mulakan dari arah mana. Lengan sasa Firas cuba diraihnya untuk membantu apa yang patut. Tetapi Firas pantas menolak.
“Please don’t touch me!” Firas menepis kasar tangan Karmila yang cuba menolongnya. Riak kaget yang terpamer di wajah perempuan itu dikerlingya sekilas sebelum dia kembali menekur permukaan meja. Berharap agar rasa pusing yang bermaharajalela di kepalanya beransur-ansur reda. Firas masih belum berani untuk kembali duduk ke kerusi walaupun dunianya seperti di awang-awangan. Dia rimas andai Karmila terus-terusan mendekati dirinya. Hatinya menggelegak panas. Marah kerana perempuan itu bertindak sesuka hati keluar masuk ke biliknya. Waima Karmila sah-sah teman wanitanya, tetapi Firas kurang senang andai tugas Rania digula-gulakan sewenangnya. Rania juga manusia biasa. Perasaan dan kebajikannya harus Firas jaga selama setiausahanya itu masih setia berkhidmat di situ.
“Tapi wajah you nampak pucat,” tokok Karmila. Langkahnya maju lagi setapak ke hadapan untuk menghampiri Firas. Kali ini, dia ingin membelek wajah Firas yang kelihatan pucat putih. Namun, sekali lagi dia tersilap percaturan. Herdikan Firas menyusup ke gegendang telingannya.
“I said, don’t touch me! You tak faham bahasa ke?” jerit Firas di situ.
Suasana menjadi bungkam sejenak. Karmila terpempan dengan jeritan Firas. Baik Karmila mahupun Firas, masing-masing tidak bersuara. Mereka saling menikam pandang antara satu sama lain. Bagaikan dalam sebuah pertandingan ciptaan mereka sendiri. Perlawanan yang menguji kemampuan mata siapa yang dapat bertahan tanpa berkelip sepanjang tempoh masanya sudah ditetapkan juri.
“Kalau you tak suka I datang sini, cakap. Tak perlu nak tengking-tengking I, ok!” tempelak Karmila seraya menuding jari telunjuknya tepat ke muka Firas. Tingkahnya itu menggambarkan sebagai isyarat berbaur amaran yang harus Firas ketahui bahawa dirinya bukanlah calang-calang orang yang boleh lelaki itu persendakan. Karmila menapak berundur ke belakang mencapai tas tangannya di atas sofa. Hati kecilnya sedikit tercarik dengan sikap Firas yang menyinga tiba-tiba. Lelaki itu tidak pernah sekalipun meninggikan nada suara terhadapnya sebelum ini. Selama dia hidup, tiada satu orang pun yang berani melakukan hal yang sama waima papa dan mamanya sendiri. Dia menjeling tajam sekilas sebelum memulas tombol pintu. Bersedia untuk keluar dari situ.
Kelibat Karmila akhirnya hilang dari pandangan Firas sebaik perempuan itu menghempas daun pintu sekuat hatinya. Firas mendengus keras. Rasa amarah dan kesal saling bergelodak melanda dirinya. Dia meraup mukanya beberapa kali.
No comments:
Post a Comment