Pages

Untukmu Cinta (Bab 6)

Hujan yang turun renyai-renyai di sekitar Lembah Klang sejak semalam masih belum reda. Sesekali, kedengaran guruh kecil bergema diselangi kilat yang bersabung dari dada langit. Kedinginan kian menebal. Menyelimuti segenap ruang di sekitar hospital. 

Sudah dua minggu Nur Hasya menghuni wad itu. Selama itu jugalah, ia ibarat rumah kedua buat Puan Hajar. Meskipun jarak di antara rumahnya ke hospital hanya mengambil masa selama 20 minit, namun Puan Hajar memilih untuk tinggal di hospital demi menjaga Nur Hasya sepanjang tempoh perawatan. Haikal pula akan datang menjenguk mereka setiap kali tamat waktu kuliah. Bukannya Haikal tidak pernah menyuarakan hasrat untuk bergilir-gilir dengannya demi menjaga Nur Hasya. Tetapi, Puan Hajar lebih selesa jika dia sendiri yang menjaganya. Lagipun, dia enggan mengganggu konsentrasi pembelajaran Haikal. Walau bagaimanapun, dia tetap menyanjung tinggi pengorbanan Haikal yang hampir setiap hari tidak pernah culas untuk datang ke hospital.

“Hasya, mari ibu suapkan nasi. Dah waktu makan tengahari ni,” pelawa Puan Hajar sambil membuka penutup trail makanan. Baru sebentar tadi pembantu hospital wanita yang bertugas di bahagian dapur datang menolak troli untuk mengagih-agihkan makanan tengahari ke setiap katil yang ada pesakit.

“Hasya tak ada selera, ibu,” jawab Nur Hasya sepatah.

“Tak ada selera kenapa pulak? Hasya kena makan. Nanti masuk angin perut tu,” bebel Puan Hajar lembut. Dia sedar yang Nur Hasya belum menjamah apa-apa makanan sejak dari pagi tadi lagi. Malah, sarapan pagi yang dihantar oleh pembantu hospital juga masih tidak terusik. Dia menyimpan sarapan pagi yang berupa dua keping roti dan sebiji telur rebus itu di dalam bekas tupperware.

“Ibu…ibu tahu kan yang esok balutan mata Hasya akan dibuka?” soal Nur Hasya.

Puan Hajar sedikit tersentak dengan pertanyaan Nur Hasya itu. Dia menelan air liur yang tersekat di alur kerongkongnya. Tiba-tiba saja dadanya berasa sebu. Raut wajah Nur Hasya di renungnya dalam-dalam. Lama dia mendiamkan diri.

“Ibu…ibu dengar tak?” Nur Hasya bertanya lagi. Tangannya mula meraba-raba mencari posisi keberadaan ibunya.

“Ya, ibu ada kat sini.” Puan Hajar segera menyentuh tangan milik Nur Hasya. Menandakan yang dia masih berada di situ. Rasa bersalah pula kerana membuatkan Nur Hasya tertunggu-tunggu untuk mendengar jawapannya.

“Esok balutan mata Hasya akan dibuka.” Nur Hasya mengulangi lagi ayat itu.

“Ya, ibu tahu.” Puan Hajar sekadar mengiyakan sahaja.

“Hasya takut ibu…” Nur Hasya mula menyuarakan kebimbangan. Ada nada getaran berlagu di hujung suaranya.

”Apa yang Hasya nak takutkan? Insyaallah, semuanya akan baik-baik saja. Hasya jangan risaulah.” Puan Hajar cuba berlagak tenang.

“Macam mana kalau mata Hasya dah tak boleh melihat macam dulu?” Akhirnya terhambur jua soalan itu. Seperti jangkaan Puan Hajar. Pertanyaan yang menggigit sanubari tuanya.

“Apa yang Hasya cakap, ni? Tak ada apa-apa yang akan berlaku.” Puan Hajar berusaha untuk menyakinkan Nur Hasya.

“Tapi ibu…” Nur Hasya tidak sempat menghabiskan kata-katanya.

“Dah. Tak ada tapi-tapi lagi. Ibu tak nak Hasya fikir yang bukan-bukan,” tegas Puan Hajar. Dia enggan membicarakan soal itu lagi. Kelak, dia sendiri yang akan tewas. Tewas dengan kenyataan dan hakikat yang bakal ditempuhi nanti. Biarlah esok yang menentukan segalanya.

 * * * * * * * * * *

Keesokannya, hujan sudah pun berhenti. Sinar mentari kembali muncul menerangi alam semesta. Namun, suasana hiba menyelubungi pagi yang cerah itu. Saat balutan mata dibuka, hanya kegelapan menyelimuti dunianya. Nur Hasya akur dengan ketentuan Ilahi. Di dalam sendu, dia pasrah. Harapannya tika itu cuma satu. Moga ada sinar yang menanti buat dirinya.

No comments:

Post a Comment