Pages

Cinta Ini Milikmu

Usah dibandingkan cintaku dengan harta yang menimbun. Kerana aku tidak punya apa-apa selain cinta yang tulus. Antah sama antah, beras sama beras. Yang pipit sama pipit, yang enggang sama enggang. Manakan boleh terbang bersama. Kata dua telah diberikan oleh keluargamu. Aku atau mereka. Aku tahu dikau tidak punya banyak pilihan. Percayalah Fahim Amsyar…kita tidak akan bisa mengecapi bahagia tanpa restu orang tua. Pergilah cinta. Aku bukan untukmu. Kulepaskan dikau walau hati masih sayang. Mungkin itu yang terbaik buat kita. Di akhir pertemuan, aku lihat kau menitiskan air mata. Aku? Sudah kering air mataku. Biarpun aku diuji hebat, namun aku pasrah dengan ketentuan yang telah Allah S.W.T. rencanakan untukku. Kerana aku percaya, pasti ada hikmah disebalik semua itu.

Untukmu Cinta (Bab 6)

Hujan yang turun renyai-renyai di sekitar Lembah Klang sejak semalam masih belum reda. Sesekali, kedengaran guruh kecil bergema diselangi kilat yang bersabung dari dada langit. Kedinginan kian menebal. Menyelimuti segenap ruang di sekitar hospital. 

Sudah dua minggu Nur Hasya menghuni wad itu. Selama itu jugalah, ia ibarat rumah kedua buat Puan Hajar. Meskipun jarak di antara rumahnya ke hospital hanya mengambil masa selama 20 minit, namun Puan Hajar memilih untuk tinggal di hospital demi menjaga Nur Hasya sepanjang tempoh perawatan. Haikal pula akan datang menjenguk mereka setiap kali tamat waktu kuliah. Bukannya Haikal tidak pernah menyuarakan hasrat untuk bergilir-gilir dengannya demi menjaga Nur Hasya. Tetapi, Puan Hajar lebih selesa jika dia sendiri yang menjaganya. Lagipun, dia enggan mengganggu konsentrasi pembelajaran Haikal. Walau bagaimanapun, dia tetap menyanjung tinggi pengorbanan Haikal yang hampir setiap hari tidak pernah culas untuk datang ke hospital.

Untukmu Cinta (Bab 5)

“Ibu dah sedar?” ucap Haikal apabila mendapati puan Hajar mulai membuka kelopak mata sedikit demi sedikit.

Puan Hajar mengamati panorama sekeliling. Tempat itu terasa asing buatnya. Daripada siling, matanya turun berkalih meratah permukaan dinding. Mendatar sahaja warnanya. Semua bercat putih. 

“Ibu kat mana ni, Haikal?” soal puan Hajar ragu-ragu.

Untukmu Cinta (Bab 4)

Puan Hajar tiba di perkarangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dengan menaiki kereta peronda polis lebih kurang dua puluh minit kemudian. Dia yang ditemani oleh Koperal Claudia terus bergegas ke bahagian kecemasan. Menurut salah seorang jururawat yang bertugas di kaunter tersebut, Nur Hasya masih lagi berada di dalam bilik pembedahan. Berderau darah Puan Hajar tatkala mendengar kata-kata jururawat itu. Seriuskah kecederaan yang Nur Hasya alami? Sampaikan terpaksa menerima rawatan di dalam bilik pembedahan?

“Macam mana keadaan anak saya, nurse?” soal Puan Hajar kebimbangan. Sesekali, matanya melirik ke arah bilik pembedahan yang terletak betul-betul di hadapan kaunter tempat jururawat tersebut bertugas. Lampu yang masih menyala di atas kepala pintu menandakan operasi pembedahan belum selesai dan sedang berlangsung.

Untukmu Cinta (Bab 3)

Tok! Tok! Tok!

Puan Hajar terjaga dari lena saat gegendang telinganya disapa oleh bunyi ketukan pintu yang hadir bertalu-talu. Sesekali, ketukan yang memecah keheningan malam nan pekat itu diselang-selikan dengan sayup-sayup ucapan salam. Semakin diamati, semakin jelas kedengaran riak empunya suara yang datangnya dari arah luar pintu utama rumah. Segera dia bingkas sambil tangannya pantas memetik suis kecil pada lampu tidur yang terletak bersebelahan katil. Serta-merta biasan cahaya memantulkan bebayang beberapa objek yang melatari di serata sudut ruang kamarnya itu.

“Siapa pula yang datang tengah-tengah malam begini,” duga Puan Hajar sendirian.

Untukmu Cinta (Bab 2)

Firas menopangkan kedua-dua hujung sikunya di atas meja pejabat. Jari-jemarinya bergerak perlahan memicit dahi. Pening kepalanya hadir lagi bersama-sama sakit yang amat mencucuk-cucuk. Penglihatannya kabur dan menjadi berganda sewaktu anak matanya leka menyemak laporan dan kertas kerja daripada fail-fail yang tersusun rapi di atas meja. Adakala, pandangannya mudah berpinar-pinar. Firas menyedari akan hal itu sejak beberapa bulan yang lepas. Pada kebiasaannya jika mengalami sedemikian, sakitnya boleh membaik setelah dia mengambil ubat penahan sakit. Akan tetapi, sakit kepalanya itu semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Seolah-seolah tubuh badannya sudah tidak boleh menerima lagi kesan dan tindakbalas ubat itu. Segalanya bermula pada satu pagi saat dia terjaga dari lena. Kepalanya terasa berat dan pandangannya berbalam-balam apabila dia ingin bangun menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Firas beralih dengan cuba merehatkan kepala dan belakang badannya ke kerusi pejabat. Tali lehernya dilonggarkan sedikit bagi memberikan keselesaan untuk bernafas. Butang baju kemeja juga dibuka satu pada bahagian yang paling atas. Matanya terpejam rapat saat menahan kesakitan yang merengat itu. Tidak sampai beberapa saat, dia tersentak saat telinganya menangkap bunyi masuk interkom. Lambat-lambat dia menekan butang itu dengan hujung jari tengahnya.

Untukmu Cinta (Bab 1)

Nur Hasya berdiri kaku di sisi pintu kamarnya yang terbuka luas.  Dia mengetap bibir sambil menahan sebak di relung hati. Pandangannya kelam hitam di mana-mana. Dia tidak berasa sedikitpun penglihatannya berkaca-kaca meskipun tubir sepasang organ deria lihatnya itu digenangi dek airmata. Namun apa yang pasti, deria rasanya masih kekal berfungsi saat dia mendapati sebahagian kanan dan kiri pipi gebunya terasa sedikit menghangat. Ada rintik-rintik mutiara jernih mengalir turun perlahan di situ tatkala dikerdipkan kedua-dua belah kelopak matanya. Pantas saja dia menyeka dengan hujung jari jemarinya yang runcing.

"Aku harus kuat," bisiknya perlahan.